Bertabah lah Abah
Redup mata mu memandang kami
Senyum mu bagiku manis sekali
Tapi kesayuan masih terpancar
Daripada lirikan mata
Daripada getaran suara
Daripada kisah-kisah silam yang lekat diingatan
Yang kau kongsikan sepanjang perjalanan
Menuju Maran tempat tujuan
Tempohari...
Abah...
Ku tahu hidup mu kini sunyi
Setelah Mak pergi
Kini kau tinggal sendiri
Tiada tempat untuk mengadu
Walau hidup di kelilingi cucu
Tiada lagi tempat bermanja
Walau nyatanya kami ada
Tapi susuk kehadiran emak tak ada galang gantinya.
Abah...
Telah dua kali Aidil Fitri datang
Telah dua kali Aidil Adha berulang
Telah dua kali ulang tahun mu kami sambut...
Kali ini di Genting Higlands yang sejuk membeku
Kau turuti kehendak anak dan cucu-cucumu
Walau ku tahu badanmu terpaksa menanggung
Gigitan kedinginan yang sampai ke tulang
Sengal-sengal di kaki akibat gout yang sekali-sekala datang...
Semuanya kau tanggung bersendiri
Tanpa emak ada di sisi
Yang dulunya tempat mu merungut
Yang dulunya tempat mu mengadu hiba
Yang dulunya memanaskan air merendam tuala
Untuk didemahkan ke tempat sakit
Agar bisanya kurang sedikit.
Abah...
Aku tahu kau tabah
Dengan kesekian kalinya ujian Tuhan
Perginya orang-orang yang kau kasihi dan sangat kau sayang
Arwah Atok...
Arwah Uwan...
Arwah Ami...
Arwah isteri...
Maafkan aku Abah...
Kerana tak dapat menjengahmu sekerap mungkin
Seperti juga masa Mak masih ada
Tuntutan tugasan tak kunjung berbeda
Semakin hari semakin bertambah adanya...
Keluarga di rumah juga sering ku tinggalkan
Akibat memenuhi kehendak pekerjaan
Membimbing pemimpin pendidikan
Agar mampu membangun modal profesional dan modal insan
Pewaris bangsa, negara dan agama masa mendatang.
Syukur Zidah mahu mengalah
Melepaskan kedudukan dan tinggal di rumah
Bersama si Comel cucumu berdua itu
Penghibur pengubat dukalaramu
Angah khabarnya juga sering menjenguk
Bertanya khabarmu sehari-hari
Aku sahaja yang asyik sibuk
Menangguh kepulanganku
Ke pangkuanmu yang aku rindui.
Abah...
Bukan aku tak mahu pulang
Tapi perancangan sering tergalang
Akan ku cuba akan ku usahakan
Akan ku cuba mencari masa dan hari
Walau hanya berdua dengan Anis
Akan ku cuba kembali Menjengukmu di Tanjung Jati.
Bersabarlah ya Abah...
November 26, 2016
Mak...
Mak...
Matahari masih terbit pagi tadi
Jelas terlihat warna kemerah-merahan
Menyinari ufuk timur
Dari beranda rumah
Di Apartmen Seri Pagi.
Mak...
Hujan masih turun sekali sekala
Membasahi tanah-tanih
Yang sedia lembab
Di bumi Genting Permai ini.
Sepagi ku habiskan sisa hidup
Bertemu bual dan mendengar al kisah
Usaha para pendidik
Yang diangkat cemerlang
Dalam profesi yang disandangi.
Sepagi ku penuhi minda
Meneliti strategi
Yang diguna pakai
Membangun diri
Memotivasi rakan
Mendidik anak bangsa dan
Menggemilangkan organisasi.
Sepagi ini juga
Fikiran ini resah
Mengingatimu yang telah pergi.
Mak...
Telah sekian kalinya
Tutur bicaramu yang perlahan
Masih tergiang di telinga ini...
Lembut tingkahmu
Masih terbayang di mata ini...
Enak masakanmu
Masih terasa di lidah ini.
Mak...
Pulut kuning, rendang
Masakan kegemaranmu
Setiap perjumpaan dan kenduri...
Kau rela berjaga merendam pulut
Untuk di kukus keesokkan hari...
Menyiang daging dan ayam
Menyiapkan rempahan di awal pagi...
Memarut kelapa, memerah santan
Untuk digaulkan ke pulut kukus
Berselang-seli...
Mak...
Renyah dan leceh
Sanggup kau lalui
Hari demi hari...
Memastikan kami
Menikmati sarapan
Setiap pagi...
Tak pernah sekali
Aku ke sekolah
Tanpa bekalan yang diberi...
Tak pernah sekali
Kami keluar rumah
Tanpa bersarapan pagi.
Mak...
Tapi semuanya sudah tiada lagi...
Deringan telefon
Membawa suaramu
Bertanya khabar
Diri ini di sini.
Senyuman manismu
Menyambut kepulangan
Bercuti di hujung minggu
Atau melunasi tugasan
Berdekatan kampung di Tanjung Jati.
Renungan lembutmu
Mendengar keluhan
Luahan hati
Tentang kerja
Tentang hari-hari yang dilalui.
Mak...
Ku titipkan doa
Setiap pagi
Buatmu dan arwah Ami.
Semoga rohmu dan arwah Ami
Tenang dan bahagia
Dalam Rahmat Illahi.
Ameen ya Rabbalalamin...
*(Semuanya gara-gara terlihat hidangan pulut kuning dan rendang ayam di Cafe pagi tadi)
November 24, 2016
Lagi?
Klik butang di bawah untuk ke laman seterusnya ya